Thursday 31 March 2016

فاطمة الزهراء عليها السلام



بسم الله الرحمن الرحيم، أما بعد

Segala puja dan puji hanyalah untuk Allah, selawat dan salam ku hadiahkan buatmu Wahai Kekasih Allah, dan kepada seluruh ahli keluarga dan empunya manaqib yang mewangi di sisi Allah. Terlalu banyak nikmat dan kurnian Allah kepada kita samada dari segi zahir mahupun batin. Di antaranya kurniannya itu ialah Allah mengutuskan kepada kita Saidina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم daripada keturunan yang paling mulia dan terhormat sepertimana sabda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم :

إن الله اصطفى كنانة من ولد إسماعيل ، واصطفى قريشا من كنانة ، واصطفى من قريش بني هاشم ، واصطفاني من بني هاشم

Kita mulia dan istimewa kerana Saidina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Dan Allah juga memuliakan kita dengan diturunkan syariat yang di mana Syariat ini merupakan penutup bagi segala Syariat yang lain. Bahkan ketika kembalinya Nabi Isa a.s ke dunia ini nanti juga akan menghukum dengan Syariat yang dibawa oleh Saidina Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم . Sayyiduna Rasulullah SAW tidaklah pula meninggalkan syariat ini begitu sahaja tanpa ada penjaga dan delegasi yang akan memelihara syariat Muhammadi ini , dan ketahuilah penjaga Syariat ini ialah ahli baitnya yang suci lagi mulia. Sabda Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم :

إني تارك فيكم الثقلين ، كتاب الله و عترتي أهل بيتي

Ramai dikalangan para ilmuwan dan ulama’ islam mencoret pena mereka dalam menceritakan kelebihan Al Itrah (ma’ruf dikalangan ulama’ bila sebut Al Itrah, ia kembali kepada Ahlul Bait berdasarkan hadis yang disebut tadi ) untuk mendapat bahagian dalam syafaat dan berkhidmat kepada Sayyiduna Rasulullah dan Al Itrah. Bahkan jika kita meneliti sesetengah kitab-kitab sirah dan tarajim, kita akan dapati penceritaan yang terperinci tentang Ahlul Bait Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم. Dan di antara ulama’ yang menceritakan kelebihan Al Itrah dan khususnya Saidatina Fatimah Al Batul عليها السلامialah Imam Al Hafiz Abu Abdullah Al Hakim an Naisaburi, empunya kitab hadis Mustadrok. Kitab ini antara yang paling luas dalam penceritaan kisah dan ahwal Saidatina Fatimah Al Batul عليها السلام .

Sayyidah al Fatimah عليها السلام merupakan ketua bagi para muslimah di Syurga kelak seperti mana sabda Baginda صلى الله عليه وآله وسلم yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhori dalam bab manaqib,

فاطمة سيدة نساء أهل الجنة maknanya Saidatina Fatimah merupakan penghulu bagi kaum wanita di Syurga.

Dan diriwayatkan juga oleh Imam al Bukhori, فاطمة بضعة مني فمن اغضبها اغضبني maknanya Saidatina Fatimah sebahagian dariku, barang sesiapa yang memarahinya maka umpama dia memarahiku.

Saidatina Fatimah عليها السلام penghulu yang mulia, anakanda kepada Baginda عليهما السلام , penghulu wanita di Syurga kelak, antara insan yang paling disayangi oleh Sayyiduna Rasulullah عليه السلام .



Ibu kepada al Hasanaini, pemuda syurga, moyang keturunan yang mulia, dan merupakan isteri kepada Sayyiduna Ali عليه السلام dengan perintah daripada Allah.

Seorang ahli ibadat yang zuhud, ibunya yang mulia Sayyidah Khadijah رضى الله عنها merupakan kekasih hati Sayyiduna Rasulullah عليه السلام .

Dilahirkan Sayyidah Fatimah عليها السلام dekat dengan tarikh sebelum perutusan Baginda menjadi Rasulullah .

Sayyidah Fatimah عليها السلام dikahwinkan dengan Sayyidina Ali عليه السلام dua tahun selepas berlakunya Perang Badar al Kubra.

Diangkat bertemu Azza wa Jalla selepas enam bulan pemergian ayahandanya untuk betemu dengan Yang Maha Esa. Dan umurnya waktu itu menurut pendapat yang paling sohih ialah 27 tahun. Dimaqamkan di perkuburan al Baqi’. Kelebihannya banyak sekali termaktub dalam karya karya para ulama’ .

Antara karangan para ulama’ mengenai Sayyidah Fatimah عليها السلام yang saya jumpa ( segala kekuasaan milik Allah ) :

1 أعلام الهداية فاطمة الزهراء عليها السلام – himpunan karangan persatuan ahlul bait.

2 بضعة المصطفى - Muassasah as Satin

3 بيت الاحزان في مصائب سيدة فاطمة الزهراء عليها السلام - Syeikh Abbas al Qummi

4 سيدة النساء فاطمة الزهراء

5 فضائل فاطمة الزهراء عليها السلام - Imam al Hafiz Abu Abdillah al Hakim an Naisaburi ( dalam kitab hadis beliau iaitu al Mustadrak banyak mengeluarkan hadis tentang kelebihan Sayyidah Fatimah az Zahra )

6 تفضيل السيدة فاطمة الزهراء على نساء العالمين - karangan sadah Ghumari al Muhaddis Sayyid Abdul Aziz al Ghumari

7 إنها فاطمة الزهراء عليها السلام - Syeikh Muhammad Abdul al Yamani

8 فاطمة الزهراء عليها السلام أفضل أسوة للنساء - Sayyid Muhammad al Husaini as Syirozi

9 فاطمة الزهراء عليها السلام من المهد الى اللحد - Sayyid Muhammad Kazim

10 عقد اللول من سيرة الزهراء البتول

11 قبسات من حياة الرسول

Dan ada sahaja bab khusus tentang manaqib Sayyidah Fatimah عليها السلام jika kita buka kitab-kitab hadis seperti Dalail Nubuwwah, al Mustadrak dan lain-lain.


Wallahu ‘alam

Tulisan ini bukanlah tulisan asli penulis ,bahkan ianya adalah perkongsian dari seorang sahabat,Bintu Mohamd.

Semoga ia bermanfaat.

AllahuMustaan.

Wednesday 30 March 2016

Sejarah Penterjemahan Al Quran Siri 1- Terjemahan Robert Ketton dan Herman Dalmaty

Bismillahirrahmaanirrahim



credit:google,gambar menunjukkan terjemahan George Sale


"Sesungguhnya mata pedang tidak lagi berguna untuk kita bagi menyerang Muslimin,kita perlu menyiasat sebab lain yang menyebabkan mereka sentiasa memperoleh kemenangan"

-Louis XI(Raja Perancis :25 April 1214 – 25 August 1270)
(lihat : المستشرقون والقرآن لعمر لطفي العالم ،ص 11،ط الأولى ، منشورات مركزدراسات العالم الإسلامي )

Maka Penterjemahan Al Quran merupakan salah satu daripada agenda yang telah dimulakan oleh puak Kristian selepas Perang Salib sebagai usaha merealisasikan wasiat Louis XI.
(lihat : الإسلام والمسلمون بين أحقاد التبشير وضلال الاستشراق لعبد الرحمن عميرة ،ط الأولى 1999م -1420 ه ،دار الجيل -بيروت-لبنان)

Sejarah penterjemahan Al Quran ke bahasa asing kembali kepada zaman sahabat,dimana orang yang pertama melakukannya adalah Salman Al Farisi R.A yang mana beliau telah menterjemahkan Surah Al Fatihah ke Bahasa Parsi untuk disampaikan kepada kaumnya.

Terjemahan kedua ke bahasa Greek dan telah digunakan oleh Nicetas Byzantius ,seorang cendekiawan dari Kostantinopel ,di dalam karyanya 'Refutation of Quran' yang ditulis sekitar tahun 855 sehingga 870 M.Bagaimanapun jua,tiada maklumat dijumpai berkenaan dengan penulis asal terjemahan berikut serta tujuan dilakukan penterjemahan itu.

Penterjemahan pertama ke atas Al Quran ke bahasa Eropah pula berlaku pada tahun 1143M ke bahasa Latin dan mereka yang terlibat dalam proses ini ialah Robert Of Ketton(Latin:Robert Ketenensis),seorang pendeta Inggeris dan Pendeta German yang dikenali sebagai Herman Dilmaty dengan arahan dan seliaan Peter The Venerable ,ketua Paderi Biara Cluny,dan terjemahan tersebut masih wujud sehingga kini di  Bibliothèque de l'Arsenal in Paris.


credit :Columbia University Libraries

Dicatatkan dalam kata kata Peter kepada Saint Bernard :
Aku bertemu dengan Robert( Robertus Retenensis)dan sahabatnya Herman Al Dalmaty(Hermannus Dalmata) pada tahun 1141M,di Sepanyol,aku telah mengajak mereka dari bidang ilmu falak ke bidang penterjemahan Al Quran ke bahasa Latin,dan mereka telah menyempurnakannya dengan bantuan dua orang Arab ,salah seorangnya dikenali sebagai Muhammad.

Tujuan terjemahan pertama ini adalah untuk memerangi Islam.Telah berkata G.H Bousquet:
Sejak 1141M, telah berkumpul para agamawan di bawah seliaan Peter The Venerable,ketua biara Cluny untuk menterjemahkan Al Quran ke bahasa Latin ,dengan tujuan memerangi Islam.
(lihat : Islamologie,p 618)

Bahkan pihak gereja ketika itu juga tidak membenarkan terjemahan tersebut dicetak kerana bimbang penyebarannya akan membantu mengembangkan dakwah Islamiyah ,dan hal ini berlawanan dengan tujuan sebenar tindakan mereka itu.

Maka terjemahan ini dibuat beberapa salinan manuskrip dan diedarkan serta dimiliki oleh setiap gereja bagi tempoh hampir empat kurun.Sehinggala ianya dicetak oleh Theodor Bibliander(Orientalis Belanda) pada 11 Januari 1543 M.
Namun begitu terjemahan ini,terkandung padanya kesalahan yang banyak yang diakui oleh seorang orientalis yang turut menterjemahkan Al Quran,George Sale(1696-1736) :

. What Bibliander published for a Latin translation of that book deserves not the name of a translation; the unaccountable liberties therein taken, and the numberless fault, both of omission and commission, leaving scarce any resemblance of the original. It was made near six hundred years ago, being finished in 1143, by Robertus Retenensis, an Englishman, with the assistance of Hermannus Dalmata, at the request of Peter, Abbot of Clugny, who paid them well for their pains.
 Rujuk : George Sale :Mohammed, The Quran, vol. 1 [1896]
= ...Apa yang diterbitkan oleh Bibliander itu tidaklah layak untuk digelar terjemahan,ianya terkandung terlalu banyak kesalahan,penghapusan serta penambahan,jauh berbeza daripada yang asal...
Regis Balchere(Orientalis Perancis) turut mengkritik dengan mengatakan :

Terjemahan Toledo (merujuk kepada terjemahan Robert dan Hermanus),tidak terzahir darinya terjemahan yang benar serta lengkap bagi nas Al Quran.  
Rujukan : ترجمة النصوص القرآنية ،الدكتور أحمد نصري،ص 30

Walaupun begitu,terjemahan ini menjadi rujukan bagi penterjemahan yang datang selepasnya.Bahkan memberikan kesan yang sangat besar sehingga ada yang mengadopsi (mengambil tanpa mengubah apa-apa) serta meniru metod penterjemahan .

Sekian,Wallahua'alam.

Dengan rahmatNya,aku mampu menyiapkan tulisan ini,sebarang kritikan dan pembetulan adalah sangat-sangat dialu-alukan.Segala yang benar dari Allah jua,segala yang kurang adalah kerana kekurangan diri sendiri,in sha Allah akan brsambung lagi di siri seterusnya.

AllahuMustaan.

Catatan :Perbezaan ejaan nama adalah berdasarkan sumber rujukan.

Sumber Rujukan :

1-ترجمة النصوص القرآنية ،الدكتور أحمد نصري

2-https://en.wikipedia.org/wiki/Quran_translations

3-http://oll.libertyfund.org/titles/1928

4-https://exhibitions.cul.columbia.edu/exhibits/show/quran/qurans/printed

5-https://en.wikipedia.org/wiki/Peter_the_Venerable

6-https://en.wikipedia.org/wiki/Robert_of_Ketton

7-https://en.wikipedia.org/wiki/Theodore_Bibliander

Dysmenorrhea dan wanita

Bismillahirrahmaanirrahim

Tulisan kali ini berkenaan dengan Dysmenorrhea.
Dysmenorrhea merupakan istilah medik(medical term) yang merujuk kepada kesakitan/rasa nyeri yang dialami oleh wanita sebelum atau sewaktu haidh.

Terdapat dua tahap dysmenorrhea : Primary Dysmenorrhea dan Secondary Dysmenorrhea.

Primary Dysmenorrhea merujuk kepada kesakitan biasa yang dialami oleh wanita yang biasanya tidak memerlukan kepada rawatan khusus.Ianya beransur hilang dengan berakhirnya kitaran haidh.
Kesakitan biasanya dirasai pada kawasan bahagian bawah abdomen ( lower abdomen ).

Manakala Secondary Dysmenorrhea pula merupakan serangan kesakitan yang tidak hanya berlaku pada tempoh haidh ,bahkan boleh berlarutan walaupun setelah tamat tempoh haidh. Ianya berpunca daripada kelainan pada organ reproduksi wanita tersebut seperti Endometriosis, Adenomyosis, Fibroid.

Simptom-simptom kesakitan:

-Rasa nyeri/sakit pada bahagian abdomen,khususnya bahagian bawah abdomen(Sakit boleh menjadi teruk pada masa-masa tertentu.)

-Rasa tekanan di dalam abdomen

-Sakit di bahagian pinggang, tulang belakang, dan dalaman paha

-Sekiranya teruk,boleh membawa kepada muntah -muntah,perut tidak selesa serta cirit birit

Punca Dysmenorrhea (senggugut) :

Kesakitan ini berlaku apabila rahim,yang merupakan salah satu dariada otot manusia,mengalami pengecutan.Pengecutan yang berlaku ,sekiranya terlalu kuat,akan menyebabkan perlanggaran pada salur darah berhampiran yang kemudiannya mengakibatkan penyekatan bekalan oksigen ke tisu otot rahim,yang kemudiannya menyebabkan kesakitan apabila sebahagian daripada otot kehilangan bekalan oksigen. 

Ia juga turut disebabkan oleh hormon prostaglandin yang dihasilkan oleh wanita.Hormon ini meningkat ketika menjelangnya haidh dan memuncak ketika haidh dan berkurang seiring berakhirnya haidh.
Peningkatan prostaglandin inilah yang menghasilkan rasa nyeri ketika haidh.


Bagaimana mengatasi/mengurangkan kesakitan Dysmenorrhea :

Tanpa Ubat :

Dr Zubaidi Haji Ahmad dalam satu post Facebooknya menyatakan:

Jika mengalami keadaan ini,cara yang paling mudah untuk mengatasinya adalah dengan pengambilan air mineral sebanyaknya. Jangan biarkan diri berada dalam dehidrasi. Makan sepotong nenas dan betik dapat juga membantu kerana kedua-dua buah ini membantu mengurangkan kekejangan otot rahem dan perut.

Selain itu ,olahraga juga mampu membantu mengurangkan kesakitan saat senggugut,hal ini disebabkan olahraga membantu meningkatkan pengaliran darah ke dalam rahim .

Anda juga boleh mengurangkan rasa sakit dengan meletakkan botol berisi air panas atau heating pad di bahagian bawah abdomen anda atau dibahagian belakang badan anda(yang berkaitan).Mandi air panas juga membantu mengurangkan kesakitan.

Dengan Ubat:

Untuk sakit yang tidak serius,pengambilan ubat tahan sakit seperti Paracetamol ,Ibuprofen  atau Naproxen sudah mencukupi,namun harus diperhatikan juga,sekiranya anda mempunyai alergi terhdap NSAID,maka pengambilan harus diberhentikan .Pengambilan yang sebaiknya adalah sebaik sahaja kesakitan bermula.

Anda juga perlu mendapatkan rehat secukupnya,elak makanan yang mengandungi caffeine dan garam yang tinggi,elakkan merokok dan minuman beralkohol serta mendapatkan urutan di bahagian yang sakit.

Untuk pesakit yang mengalami Secondary Dysmenorrhea,anda perlu mendapatkan rawatan doktor.

Wallahua'alam Bissowab.


Wednesday 2 March 2016

Kisah Nabi Lut A.S dan kaumnya yang diazab.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Nabi Lut keluar meninggalkan Mesir bersama pakciknya Nabi Ibrahim A.S menuju kota Sodom ,sebuah kota di tanah Palestin yang berada di pantai barat Laut Mati.

Kota itu penuh dengan kejahatan,penduduknya suka menyerang hendap,merompak dan membunuh pendatang.Ahli kota itu juga masyhur dengan kejahatan keji yang terkenal sebagai liwat atau sodomy yang diambil sempena nama kota mereka,kota Sodom yang mana mereka cenderung untuk melakukan seks sesama jantina lelaki.Bahkan yang lebih teruk lagi,mereka melakukan perbuatan tersebut secara terang terangan tanpa rasa malu.

Allah SWT kemudiannya mengutuskan Nabi Lut AS untuk mendakwah kaum ini agar kembali ke jalan yang benar,namun kejahatan yang dilakukan memberi kesan kedegilan hati yang menyebabkan mereka menolak mentah-mentah dakwah Nabi Lut AS walaupun setelah diberi amaran tentang azab Allah SWT.Tidak cukup dengan itu,mereka turut mengancam untuk menghalau Nabi Lut AS keluar dari kota itu sekiranya baginda meneruskan dakwahnya.

Allah SWT berfirman:



(Demikian juga) kaum Nabi Lut telah mendustakan Rasul-rasul (yang diutus kepada mereka).
Ketika saudara mereka - Nabi Lut, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
"Sesungguhnya aku ini Rasul yang amanah, (yang diutus oleh Allah) kepada kamu.
"Oleh itu, takutilah kamu akan (kemurkaan) Allah, dan taatlah kepadaku.
"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku); balasanku hanyalah terserah kepada Allah Tuhan sekalian alam.
"Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia,
"Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!"
Mereka menjawab: "Sesungguhnya jika engkau tidak berhenti wahai Lut (daripada mencaci dan menyalahkan kami), nescaya engkau akan diusir keluar!"
Nabi Lut berkata: "Sesungguhnya aku dari orang-orang yang bencikan perbuatan kamu yang keji itu".


Tindakan- tindakan keji kaum Sodom menyedihkan hati Nabi Lut AS.Reputasi keji mereka tersebar ke merata negeri manakala Nabi Lut AS terus berjuang dengan dakwahnya.Seperti tahun tahun sebelumnya ,Nabi Lut masih terus tetap dengan misinya walaupun yang menerima dakwahnya hanyalah ahli keluarganya. Walaupun begitu, tidak semua ahli keluarganya menyahut seruan dakwahnya,bahkan isterinya sendiri termasuk dari kalangan mereka yang kafir.

Sekiranya rumah bagi kebanyakan orang adalah tempat mendapatkan ketenangan,namun tidak bagi Nabi Lut AS ,beliau terseksa di luar dan di dalam rumahnya.Hidupnya dalam kesakitan yang berterusan kerana mengalami banyak kesusahan namun baginda tetap sabar dan istiqamah menjalankan tugasnya sebagai seorang rasul bagi umatnya itu. Mereka bukan sahaja tidak mendengarkan seruan Nabi Lut AS bahkan mereka memperkecilkan apa yang dibawa oleh Nabi Lut AS dan mencabar Nabi Lut AS untuk mendatangkan azab yang dijanjikan sekiranya Nabi Lut dari orang yang benar. Mereka mengatakan sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Al Ankabut :

" Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): "Datangkanlah kepada kami azab dari Allah (yang engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar".

Nabi Lut hampir sahaja berputus asa,Baginda kemudiannya mengangkat tangan berdoa,meminta kemenangan daripada Allah SWT serta meminta kemusnahan bagi kaumnya .Allah SWT kemudiannya menghantar tiga malaikat dalam samaran lelaki muda kacak bagi menjawab doa baginda AS.Mereka tiba di   tembok luar bandar tersebut pada sebelah petang. Orang pertama yang terlihat  mereka adalah anak perempuan Nabi Lut AS yang ketika itu  sedang mengisi jagnya dengan air dari sungai. Apabila dia melihat mereka, dia terkejut melihatkan orang orang yang mempunyai ketampanan seperti itu di muka bumi.

Salah seorang daripada malaikat itu kemudiannya bertanyakan kepada, :" Wahai cik,adakah ada tempat untuk kami berehat?"
Mengingatkan kekejian kaumnya,anak perempuan Nabi Lut kemudiannya berkata: "Tunggu disini,jangan kamu masuk dahulu ke kota,akan aku panggilkan bapaku ,dan aku akan kembali semula."
Meninggalkan jagnya ditepi sungai ,dia kemudiannya berlari pulang dan segera mendapatkan Nabi Lut AS ,dia berkata : Wahai bapa,engkau diperlukan oleh sekumpulan lelaki di luar tembok bandar .Tidak pernah aku melihat mereka yang berwajah seperti mereka.

Mendegarkan itu,Nabi Lut berasa risau ,baginda seraya pergi mendapatkan kumpulan lelaki itu .Mereka kemudiannya dibawa oleh Nabi Lut AS sebagai tetamu ke rumahnya.Nabi Lut mencuba untuk memberikan layanan yang terbaik buat tetamunya
Nabi Lut AS kemudiannya bertanyakan kepada mereka tentang arah tuju mereka ,namun mereka tidak menjawabnya bahkan bertanyakan kepada Nabi Lut sekiranya mereka boleh bermalam di rumah Nabi Lut AS. Nabi Lut kemudiannya menceritakan perihal kaumnya, Nabi Lut AS tidak mahu menyinggung perasaaan tetamunya namun dia tahu bahawa tetamunya tidak akan selamat berada di kota itu dan baginda juga masih mahu memberikan layanan yang terbaik kepada tetamunya.Dalam keperitan,baginda cuba menjelaskan situasi sebenar kepada tetamunya dan membenarkan mereka tinggal di rumahnya sehingga sebelum fajar terbit keesokan harinya agar kehadiran tetamunya tidak disedari oleh kaumnya.

Sehingga senja,tiada siapa pun yang menyedari kehadiran mereka sehinggalah isteri Nabi Lut terlihatkan mereka,dia lantas  memastikan tiada yang menyedarinya dan keluar menghebohkan perkara tersebut kepada kaumnya.Akhirnya berita tentang tetamu nabi Lut AS tersebar sepertinya api yang sedang marak.
Kaum yang keji itu kemudiannya menyerbu rumah Nabi Lut AS.Apabila Nabi Lut AS melihatkan serbuan itu,baginda lantas menutup pintu namun mereka terus menerus menghantuk di pintu ,Nabi Lut bahkan merayu kepada mereka supaya meninggalkan tetamunya dan menyeru mereka agar takutkan Allah SWT ,beliau juga menggesa mereka untuk memuaskan nafsu mereka dengan isteri mereka yang sudah pastinya halal buat mereka.

Mereka menunggu Nabi Lut menghabiskan kata kata baginda kemudian mereka menyambutnya dengan ketawa lantang tanpa adab.Dibutakan oleh hawa nafsu,mereka kemudiannya memecahkan pintu.Nabi Lut berasa marah namun baginda tak berdaya menghadapi kumpulan orang- orang yang ganas itu.Namun baginda terus merayu kepada mereka. 

Melihatkan Nabi Lut yang tidak berdaya dan kesedihan itu,tetamunya lantas berkata : Jangan lah kamu takut kerana bahawa sesungguhnya kami adalah malaikat dan orang orang ini tidak akan mampu membahayakan anda.

Mendengarkan perkara itu,kaumnya berasa takut dan bertempiaran lari.Para malaikat tersebut kemudiannya mengarahkan Nabi Lut AS dan keluarganya untuk meninggalkan kota itu sebelum fajar terbit,kecuali isterinya ,ditinggalkan kerana termasuk dalam golongan mereka yang kafir .
 
Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menetapkan bahawa kota Sodom akan binasa. Gempa bumi menggegarkan bandar. Ia seolah-olah satu kuasa yang besar telah mengangkat seluruh bandar dan diterbalikkan dengan satu pukulan. Ribut batu kemudian menghujani bandar. Semua orang dan segala-galanya telah musnah, termasuk isteri Nabi Lut AS. Al-Quran merakamkan kejadian itu di dalam surah As Syu'ara'; ia menyatakan (yang bermaksud):

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya - semuanya
Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu.
Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).
Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.
Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.
Oleh itu, kaumnya telah musnah dan bandar-bandar dan nama-nama mereka telah dipadam dari muka bumi.

 Sumber  :Sheikh Muhammad Gemeiah's translation of 'Stories of the Prophets', by Imaam Ibn Katheer