Friday 15 January 2016

Muhammad SAW- His Birth 1437










Maulid 1437,Disember 2015 – Maulid kedua kalinya bagi tahun ini,2015,pertamanya saat Rabi’ul awwal 1436 pada Januari 2015 .


Dan aku tak pasti apa sudah bertambah kecintaanku buat Rasulullah,sungguh aku tak layak untuk jadi umat insan unggul ini,bilamana sunnahnya tidak aku lazimi,sabarnya tak aku genggami,pencintanya baginda tak aku contohi.


Saat ada sahabat yang hati mereka meronta kerinduan,terzahir dek linangan air mata dingin,esak tangis merindukanmu ya Rasulullah,aku masih begini terpinga tak mengerti bagaimana manifestasi cinta mereka buatmu.


Bahkan ya Rasulallah,saat sejarah diulang dek bibir-bibir yang berusaha mengimbas jejak-jejak sirahmu di hari lahirmu,ternyata aku masih tidak menguasainya,bagaimana mungkin aku kata aku cinta?


Kerana itu,aku mahu cuba,cuba utk aku bawa hati ini merasai manis ingatan buatmu yang aku dapat bingkisannya dari sahabat-sahabat yang hati mereka hidup merindukanmu.Murah sekali air mata mereka menangis rindukanmu,padahal kota mu itu,mereka belum pernah jejak,melihatkan maqammu juga belum pernah. Bahawa engkau ya Rasulallah,mereka merindukanmu dan sangat berharap dapat melihat wajahmu agar terubat rindu mereka buatmu.


Ya Allah,mereka itu,mencintai RasulMu melalui peribadinya,akhlaq dan kecintaannya buatMu melalui rakaman sejarah KekasihMu itu.Ya Allah,sampaikanlah kami ke RumahMu dan Kota NabiMu itu agar kami bisa menyaksikan sendiri jejak –jejak yang ditinggalkan RasulMu serta para sahabatnya .


Untuk ingatan,aku rakamkan sirah ringkas baginda buat menyuburkan jiwa aku yang aku kira sakit,moga manfaatnya buat semua jiwa yang turut membacanya.Tidaklah aku merakamnya sendiri,bahkan aku menceritakan semula pembacaanku melalui karya Syeikh Safiyyurrahman Al Mubarak Furi,ArraheequlMakhtum,yang mana aku olah menjadi lebih ringkas. Penulisan aku ini juga aku buat secara bersiri memandangkan sekarang aku dalam fatrah imtihan.Dengan izin Allah,akan aku sambung tulisanku selepas fatrah imtihan.


~Muhammad Bin Abdullah,insan agung yang lahir tanggal Rabi’ul Awwal ,pada tahun yang sama berlakunya peristiwa bergajah ,tahun itu juga genap empat puluh tahun pemerintahan Raja Kisra AnnuSyirwan. Lahirnya insan mulia ini kedunia diringi cahaya yang menerangi bumi pijakan Ibrahim Alaihissalam ,menerangi juga istana-istana di Syam ,serentak itu juga,runtuhnya 14 anjung istana kebanggaan Kisra Parsi,golongan sang penyembah api,bahkan terpadam api di biara majusi ,tidak cukup dengan itu,runtuh juga gereja-gereja yang sebelumnya dikunjungi ramai di Tasik Sawah .


Insan yang dirindui umatnya ini diberi nama oleh datuknya dengan nama yang tak pernah sebelumnya didapati didalam bangsa Arab,Muhammad yang memiliki maksud Yang Terpuji.


Anak mulia yang menjadi rahmat buat seluruh dunia ini,disusukan oleh hamba Abu Lahab ,Thuwaybah pada awalnya,kemudiannya ke persada bani saad ,disusukan oleh Halimah bintu Abi Zu’aib yang mengambilnya walau tanpa upah,namun bayu keberkatan tertiup ,dengan sebab sangkaan baik si suaminya Alharith kepada Allah .Di pekan kecil Bani Saad juga terakam peristiwa Jibril Alahissalam membelah dan membersihkan hati anak kecil yang besarnya menjadi utusan mulia dari Allah buat seluruh alam.


Kemudian baginda dipulangkan ke pangkuan Ibunya sehingga genap umurnya enam tahun,ibunya mangkat dan anak kecil itu,menjadi yatim piatu.Setelah itu,Baginda Alaihissalam dipelihara oleh datuknya yang sangat mengasihi serta memuliakannya sehinggalah datuknya juga pergi meninggalkan dunia pada ketika umurnya 80 tahun dua bulan sepuluh hari di Makkah tanpa lupa mewasiatkan pemeliharaan cucunya itu kepada anaknya Abu Talib.


Baginda saw membesar bersama bapa saudaranya Abu Talib. Hingga tiba usianya dua belas tahun,saat berpergian bersama ke Syam menguruskan perniagaan ,dipertengahan jalan ,dikhabarkan oleh Buhaira,sang pendeta Jarjis yang mereka temui di Basrah , tentang tanda kenabian Baginda Alaihissalam.Terkejut Abu Talib dengan perkhabaran bahawa pohon-pohon dan batu-batu semuanya bersujud kepada baginda saat baginda melintasi padang Aqabah serta tanda KhatamunNubuwwah yang terdapat dibelakang baginda.Bahkan Buhaira turut menasihatkan Abu Talib untuk tidak meneruskan perjalanan ke Syam kerana khuatir akan tindakan jahat Yahudi.Setelah itu,baginda dikirim pulang ke Makkah dengan beberapa orang suruhan Abu Talib.


Bersambung,in sha Allah.

No comments:

Post a Comment